Kisah Pokok Epal. By ( Jangan baca buku ini lagi
Book’s ) - GudongZ
~Untuk renungan kita bersama…~
Suatu masa dahulu, terdapat
sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar datang
bermain di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut,
memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu
terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi
tempat permainannya itu. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.
Masa
berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak
lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun
begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang
sedih.
“Marilah
bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pokok epal itu.
“Aku
bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau,” jawab
budak remaja itu.
“Aku
mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya,” tambah budak remaja itu
lagi dengan nada yang sedih.
Lalu
pokok epal itu berkata, “Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya
untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang engkau
inginkan.”
Budak
remaja itu berasa teruja dan gembira dengan cadangan pokok epal tersebut, dan
dia memetik semua epal yang terdapat pada pokok epal, dengan perasaan gembira
lalu dia membawa epal-epal itu meninggalkan tempat tersebut. Pokok epal itu
merasa sedih dan kesunyian.
Masa berlalu....
“Marilah
bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pokok epal itu.
“Aku
tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin
membina rumah untuk keluargaku. Bolehkah engkau menolongku?” Tanya budak itu.
“Maafkan
aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang
besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya.” Pokok epal itu memberikan
cadangan.
Lalu,
budak yang semakin dewasa itu memotong semua dahan pokok epal itu dan pergi
dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumbang gembira tetapi kemudiannya merasa
sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.
Suatu
hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya
adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah
matang dan dewasa.
“Marilah
bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pokok epal itu.
“Maafkan
aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku
sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya aku tidak
mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?” tanya lelaki itu.
“Aku
tidak mempunyai bot untuk diberikan kepadamu. Tetapi kau boleh memotong
batangku untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira,” cadang
pokok epal itu.
Lelaki
itu merasa amat gembira dan menebang serta-merta pokok epal itu. Dia kemudiannya
pergi dari situ dengan hati yang gembira dan tidak lagi kembali selepas itu.
Namun
begitu, pada suatu hari. Seorang lelaki yang sedang dimamah usia, datang menuju
pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok
epal itu.
“Maafkan
aku. Aku tidak dapat lagi membantumu. Aku sudah memberikan semua epalku untuk
kau jual, dahanku untuk kau buat rumah dan batangku untuk kau buat bot. Aku hanya
tinggal tunggul dengan akar yang hampir mati...” kata pokok epal itu dengan
nada yang pilu.
“Aku
tidak mahu epalmu kerana aku sudah tidak mempunyai gigi untuk memakannya, aku
tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu
batang pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat
dan ingin berehat,” jawab lelaki tua itu.
“Jika
begitu, berehatlah di perduku,” cadang pokok epal itu.
Lalu
lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua
menangis kegembiraan.
*Cerita ini adalah untuk memberi renungan kepada
kita terhadap pokok epal itu yang boleh diungkapkan sebagai ibu bapa kita dan
budak lelaki itu sebagai anak. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan
mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk
meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka, dan hanya kembali meminta pertolongan
apabila kita di dalam kesusahan, namun begitu, mereka tetap menolong kita dan
melakukan apa sahaja asalkan kita bahagia dan gembira dalam hidup.
Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu
bersikap kejam terhadap pokok epal itu, tetapi fikirkanlah, itu hakikatnya
bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibubapa mereka. Hargailah jasa
ibubapa kepada kita. Jangan hanya kita menhargai mereka semasa menyambut hari
ibu dan hari bapa setiap tahun. Fikirkanlah...........
Written by GudongZ™
Original Idea by Fr. Nicholas Stephen© ( Jangan lagi baca ini buku bah ! )™
For Gudong Kuruntung Basoq™ – Basoq.blogspot.com©
No comments:
Post a Comment